Pindaan Akta kerja 1955 –
Satu Usaha Untuk Menginstitusikan Sistem Kontrak
Pada hari ini 3/11/2011 MTUC mengadakan piket seluruh Malaysia
untuk menentang pindaan akta kerja 1955 yang telah diluluskan di Parlimen.
Piket di Perak diadakan di hadapan Bangunan MTUC, Tasek dan dihadiri oleh lebih
700 pekerja dan ia turut disokongserta oleh Parti Sosialis Malaysia dan
Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit).
Isunya bermula apabila pada 21/6/2011, Kementerian Sumber Manusia
membawa rang undang-undang untuk meminda Akta Kerja 1955. Menurut mereka,
diskusi telah dilakukan terhadap pihak-pihak terbabit dan akhirnya rang ini
dibawa ke Parlimen. Cadangan pindaan ini melibatkan 28 peruntukan sedia ada, 17
peruntukan baru dan dua peruntukan yag dimansuhkan. Walauun mendapat tentangan
hebat daripada kesatuan Sekerja, MTUC, JERIT, kaum pekerja dan parti
pembangkang, namun akhirnya pindaan akta tersebut diluluskan.
Mengapakah pindaan ini mendapat bantahan meluas sehinggakan MTUC
sendiri telah turun berdemo untuk membantah pindaan ini temasuk mengadakan
piket bantahan Nasional pada 3/11/11 ini. Isu utama ialah
wujudnya kontraktor tenaga kerja dan ini membolehkan majikan “mengupah”
kontraktor itu memberikan tenaga kerja kepada majikan berkenaan. Sistem itu
membuatkan pekerja itu bekerja untuk kontraktor bukan majikan berkenaan
menyebabkan majikan tidak mempunyai tanggungjawab secara terus menjaga
kebajikan pekerja terutamanya melibatkan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial
(Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Selain itu, banyak pindaan didapati tersangat mencendong ke arah
‘kebajikan’ kaum majikan selaras dengan usaha regim Najib untuk meliberalisasikan
ekonomi negara. Atau dalam kata lain, untuk membuka pasaran negara yang bebas daripada
cengkaman hak pekerja dan seterusnya memikat pelaburan asing ke negara ini.
Antara pindaan Akta Kerja dan kesannya:
1.
Pindaan
Seksyen 2 (c) daripada subkontraktor kepada kontraktor untuk pekerja
Pindaan ini membenarkan sesuatu majikan hanya menjadi pembekal
tenaga kerja kepada majikan lain yang mempunyai peralatan untuk produksi
termasuk mesin dan kilang. Maka setiap pertelingkahan (disputes) termasuk
pembayaran gaji, pemotongan Kwsp, Perkeso dan keperluan pekerja yang lain kini
bergantung sepenuhnya kepada ‘kontraktor’ tenaga buruh ini. Maka majikan besar
iaitu pemilik kilang dan mesin ini hanya dibenarkan untuk membayar pampasan
dengan hanya gaji bulan terakhir seseorang pekerja sekiranya ‘kontraktor buruh’
ini lari atau tidak mahu menggaji pekerja ini.
Dalam kata lain, akta ini memang dicipta untuk melindungi kaum
majikan dan si kontraktor buruh ini pula boleh berubah-ubah demi kepentingan
majikan.
Masalah akibat system ini sudah bermula sekarang di mana para
pengawal keselamatan kilang kini sudah di’outsouced’ atau dikontrakan. Maka,
banyak isu berlaku termasuk tidak membayar gaji penuh, potongan kwsp dan
perkeso tidak dibuat dan sebagainya. Apabila kes dibawa ke pihak Jabatan Buruh,
mereka hanya menuduh pihak kontraktor sahaja dan pemilik kilang yang dijaga
siang malam oleh si pekerja ini tidak diusik sama sekali.
Menurut KWSP, pada suku pertama 2010 sahaja, sebanyak 285 kes sivil dan 1,868 kes jenayah difailkan di mahkamah terhadap pengarah syarikat dan majikan yang tidak membayar caruman KWSP mereka . Ratusan nama pengarah telah diberikan kepada pihak imigresen untuk menghalang mereka melarikan diri ke luar negara. Bukankah dengan pindaan ini, majikan kontraktor ini akan mempunyai lebih masa dan lebih senang melarikan diri kerana tidak mempunyai harta tidak bergerak seperti kilang atau mesin-mesin besar.
Sistem kontrak ini telah menurunkan tahap gaji pekerja dan buktinya jelas di banyak kilang-kilang perusahaan yang mengkontrakkan kerja-kerja seperti system keselamatan, kebersihan dan sebagainya. Satu contoh di Sg Siput yang mana housekeeping di Kilang Lafarge telah dikontrakkan. Apabila ini berlaku, pekerja diberi pilihan sama ada berhenti kerja dengan pampasan atau bekerja dengan kontraktor baru. Ramai memilih untuk bekerja dengan kontraktor dan selepas 3 tahun, apabila ada persaingan dengan syarikat lain untuk kontrak tesebut, maka kontraktor asal memberi pilihan kepada pekerja sama ada menerima potongan gaji atau dia akan kehilangan kontrak tersebut. Ini telah berlaku beberapa kali dan akhirnya sekarang si dia membayar Rm 22 sehari berbanding Rm 32 sehari sepuluh tahun dahulu. Inilah kesan yang akan berlaku keada seluruh pekerja jika pindaan akta ini dikekalkan.
Persoalan juga timbul adakah pindaan ini juga satu usaha untuk menghancurkan kesatuan sekerja yang tinggal saki baki di negara kita (hanya 7% pekerja Malaysia dalam kesatuan sekerja). Kini, sudah wujud peruntukan untuk menghalang pekerja keselamatan untuk masuk kesatuan dan sekiranya system kontrak ini berleluasa, maka kaum buruh akan menjadi lebih mobility dimana mungkin setahun dia akan disuruh kerja di kilang A dan tahun berikutnya di Kilang B dan seterusnya di Kilang C. Ini pasti akan menghancurkan kesatuan pekerja yang kini pun hanya membenarkan kesatuan dalam perusahaan yang sama sahaja.
2.
Pindaan
pada Seksyen 19 dengan memansuhkan seksyen (2) agar majikan boleh lewat
membayar gaji OT, kerja hari rehat dan kerja cuti umum sehingga 30 hari.
Akta sekarang mewajibkan majikan membayar keseluruhan gaji sebelum
hari ketujuh setiap bulan gaji. Kebayakan pekerja mengharapkan gaji OT untuk
menampung keperluan keluarga termasuk pembayaran pinjaman perumahan, bil-bil
dan persekolahan aak-anak. Kelonggaran ini pasti akan dimanipulasi oleh majikan
untuk lewat membayar gaji pekerja. Situasi ini pernah berlaku di Sg Siput sebelum
pindaan ini berlaku iaitu pada 19/01/2010 dimana pekerja Kilang Belton berdemo
meminta majikan membayar gaji dengan cepat kerana selalu lewat membayar sehingga lebih 20 hari.
Mereka berdemo kerana kelewatan gaji ini menyebabkan yuran sekolah anak-anak
tidak dapat dibayar, membayar denda lewat oleh pihak bank untuk pinjaman
perumahan dan juga dikenakan denda lewat untuk bil-bil kemudahan asas.
3.
Pindaan
pada Seksyen 2(1) untuk cuti salin bergaji
Pindaan
ini membolehkan pekerja wanita layak mendapat cuti bersalin bergaji daripada
hamil sekurang-kurangnya 28 minggu keada 22 minggu. Walaupun pindaan kelayakan tempoh
hamil itu bagus, namun Kerajaan masih berdegil untuk menambahkan cuti bersalin bergaji
penuh kepada 90 hari sepertimana yang diminta oleh kesatuan dan pekerja. Pada
ketika kelulusan diberi untuk cuti 90 hari kepada penjawata awam, pindaan ini
jelas merendahkan kaum pekerja di bidang swasta. Jaringan Rakyat Tertindas
dalam tuntutannya menyatakan cuti bersalin adalah hak yang diberikan kepada
wanita yang melahirkan anak. Seseorang wanita yang baru bersalin amat
memerlukan masa yang mencukupi untuk menjaga kesihatan mereka serta menjalin
hubungan kasih sayang dengan si comel yang baru lahir. Malah, masa ini amat
diperlukan untuk penyusuan ibu sepenuhnya, membina perkembangan emosi, social
dan mental bagi kedua-dua ibu dan anak.
Mengapa NUPW Menyokong Pindaan Ini
Salah
satu alasan BN untuk pindaan Akta Kerja kali ini ialah akibat seruan dan
sokongan NUPW. Sistem kangani/mandur adalah sistem penjajah yang bertugas
membekalkan tenaga buruh kasar kepada sektor perladangan. Amalan ini berterusan
sehingga ke hari ini walaupun negara merdeka. Jesteru banyak kepincangan
berlaku dan NUPW menyeru kontraktor-kontraktor ini didaftarkan agar mereka
lebih terkawalbdan mengurangkan insiden-insiden penindasan hak pekerja.
Walaupun
kita tahu ini hanyalah sandiwara pemerintah yang tidak pernah menjaga
kepentingan pekerja ladang selama ini, tetapi dengan hanya mengambil factor pekerja
ladang semata-mata untuk mengkontrakkan seluruh institusi pekerjaaan adalah
satu penipuan semata-mata. Isunya bukanlah penyenaraian kontraktor tetapi
kepincangan sistem kontrak itu sendiri yang NUPW abaikan. Bukankah dengan
pemansuhan sistem kontrak ala penjajah ini dalam sektor perladangan dan
mengubahnya kepada ‘check roll’ atau ‘pekerjaan terus’ agar boleh memberi satu
jaminan kepada hak pekerja ladang itu sendiri.
Walaupun
isu yang dibincangkan pada sidang Pertubuhan Buruh Antarabnagsa (ILO) 1997 dijadikan
kayu ukur untuk merasionalkan tuntutan NUPW, mengapakah isu-isu penting dalam
sidang tersebut tidak diberi tumpuan selama ini seperti kegagalan pembayaran elaun perumahan untuk pekerja ladang yang
tinggal di luar, kegagalan majikan membayar pampasan atau elaun tambahan
sepertimana yang diputuskan oleh mahkamah buruh atau perusahaan, bayaran gaji
yang tidak memenuhi perjanjian kesatuan dan sebagainya. Pengabaian isu seperti
ini menyebabkan majikan mengabaikan tanggungjawab untuk kebajikan pekerja (perumahan/pampasan)
sekiranya ladang dijual. Contoh yang sangat jelas ialah bekas pekerja Ladang
Bukit Jalil yang meminta pampasan lot tanah untuk skim perumahan mereka dan
regim BN hanya mahu mengusir keluar mereka secara paksa.
Jesteru,
laungan BN yang kononnya mahu membantu menyelesaian isu perladangan di Malaysia
adalah lakonan lucah semata-mata dan NUPW dijadikan patung untuk lakonan wayang
kulitnya.
Kesimpulannya
Pada ketika kaum pekerja di Malaysia tiada satu jaminan kerjaya
dan kemudahan yang menjadi hak asasi mereka termasuk kegagalan regim BN untuk
melaksanakan Akta Gaji Minima, pindaan Akta Kerja ini dilihat melebihkan usaha
untuk menjadikan kaum pekerja sebagai komoditi kaum majikan yang boleh
dijualbeli sesuka hati. Tenyata, kerajaan bertugas sebagai patung untuk kaum
kapitalis dan kaum pekerja harus bersatu dan menentang kezaliman ini.
Kartimn
PSM Sg Siput






0 comments:
Post a Comment